SEBELUM ini, SS pernah juga terbaca dari kolum rakan wartawan hiburan lain mengenai sikap pelik seorang artis wanita ini yang bakatnya dicungkil daripada satu rancangan realiti pencarian bakat dalam bidang nyanyian.
Sebelum ini, sewaktu dia menyertai rancangan yang pernah disiarkan di 8TV itu, timbul isu mengenai sikapnya yang berlagak bagus.
Bukan itu saja, waktu sama dia juga menimbulkan kontroversi apabila dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang peserta rancangan sama yang kebetulan memang diketahui ramai termasuk teman wartawan hiburan sudah mempunyai kekasih hati.
Baru-baru ini, artis wanita remaja ini datang ke pejabat SS untuk mempromosikan drama terbaru lakonannya bergandingan dengan dua lagi artis lelaki popular yang juga bakatnya dicungkil daripada rancangan realiti TV.
Melihatkan gayanya berjalan masuk ke dalam studio, dengan muka bongkak dan perasan cantik membuatkan teman SS yang berada di meja hiburan meluat. Tidak ada sedikitpun di bawahnya tercalit senyuman.
Lihat pula orang di kiri dan kanannya, begitu juga.
Dalam hati SS, patutlah artisnya bersikap bongkak begitu kerana orang yang menjaganya pun sama naik.
Tidak cukup dengan itu, sedang rakan SS berbual bersama dua lagi artis lelaki popular yang ada dalam studio, datang isteri pelakon Aqasha, Noor Baizura Sabri mengedarkan kad jemputan majlis persandingan yang bakal berlangsung esok.
Apa yang membuatkan rakan SS yang berada dalam studio terkejut adalah sikap artis remaja ini yang tiba-tiba keluar daripada bilik solekan, memerhatikan wajah Noor Baizura dan terus berlalu pergi sambil menjeling seperti ada perasaan tidak puas hati.
Semua orang yang ada waktu itu tergamam melihatkan perlakuannya. Mujur waktu itu Noor Baizura sedang sibuk menulis pada kad jemputan majlis perkahwinan, jadi dia tidak sedar akan apa yang dilakukan artis remaja itu kepadanya.
Pada SS, sikap artis remaja wanita itu sangat kurang sopan dan boleh juga dikategorikan sebagai biadab. Kalau benar pun mahu melihat siapakah gadis yang datang itu, se nyumlah wajah pada orang keliling.
Tunggu sebentar, bagi Noor Baizura menyudahkan kerjanya, tegur cara baik dan bersalaman. Waktu itu mahu berlalu pergi pun pergilah, tiada siapa yang kisah.
Soalnya sekarang bukan isteri Aqasha atau rakan SS yang berada di dalam studio itu yang terhegehhegeh dengannya, tapi sebaliknya dia yang datang kepada mereka.

No comments:
Post a Comment